Rabu, 5 Oktober 2011








Novel : Kerana Terpaksa…Aku Relakan 8

5 October 2011  
Kategori: Novel
3,107 bacaan 19 ulasan

Oleh : Umie Nadzimah
BAB 8
PERTAMA kali menjejak kaki pejabat koperat kepunyaan keluarga Dato’ safiya, agak mendebarkan hati Indah. Pejabat yang terletak di tingkat 21 dan 22 Wisma TS nampak mewah dengan rekabentuk dan hiasan dalaman yang moden dan ekslusif. Indah rasa dirinya berada di dalam siri drama telivesyen sahaja . Tidak pernah jangka akan berpeluang bekerja di tempat yang hebat begini.
Menurut Dato’ Safiya, dia mengendalikan dua syarikat, yang pertama syarikat yang ditinggalkan oleh arwah suaminya, dimana Tajul Razin adalah Pengarah Urusan, dan Dato’ Safiya bertindak sebagai penasihat sahaja. Syarikat satu lagi adalah kepunyaan Dato’ Safiya yang dikongsi bersama seorang sahabat baiknya, iaitu syarikat yang menerajui rangkaian gedung pakaian terkenal .
Indah amat terkejut bila mengetahui pemilik gedung itu adalah Dato’ Safiya. Dari zaman belajar lagi dia cukup mengaggumi syarikat tersebut. Tidak sangka boleh bekerja terus dengan tuan pemiliknya. Di pejabat gedung pakaian inilah Indah diperlekehkan oleh seorang pekerjanya beberapa minggu dahulu. Dan di hadapan gedung itu juga, Indah memapah Dato’ safiya yang hampir rebah, lantas hubungan mereka menjadi rapat hingga ke saat ini.
Indah berkongsi bilik dengan Nora, setiausaha Dato’ Safiya. Bilik mereka bersebelahan sahaja dengan bilik dato’. Namun , Dato’ Safiya awal-awal lagi sudah menegaskan yang Indah akan lebih banyak berada dibiliknya untuk membuat kerja-kerja sulit dan persendirian. Dan Indah juga akan mengikut Dato’ Safiya ke mana sahaja dia pergi. Kecuali bilik air sahaja tidak payah ikut…hehehe. PA atau Pembantu Peribadi…Skop kerja Indah memang betul-betul peribadi !
Menurut Dato’ Safiya lagi, kerja-kerja Indah lebih banyak membantunya di dalam menguruskan perjalanan rangkaian gedung ini, walaupun pejabat untuk mereka berdua terletak di pejabat koperat Tajul Razin. Bermakna, Indah tidaklah bekerja di bawah satu syarikat dengan si garang itu, walaupun mereka sebumbung. Fuhh! Nasib baik. Setelah apa yang didengarnya dari mulut si garang pagi tadi, dia tidak ingin lagi untuk berurusan apa-apa dengan lelaki tersebut.
“Cincin tu harganya RM 30 ribu. Itu cagaran kebahagiaan mama saya. Jika awak buat dia menangis, awak siap ! Sijil belian ada pada saya, dan saya akan buat awak menderita lebih dari yang dato’ rasa..”
Tajul Razin mengungut Indah! Itu yang Indah rasa pada pagi yang penuh bahagia baginya. Indah ingin mula bekerja dengan semangat dan azam yang baru, tetapi kata-kata itu telah menggugat perasaan Indah.
“Dan satu lagi, jangan perasan yang saya boleh jatuh suka pada awak….tinggal disini, kena selalu sedar diri tu siapa….”
Hee…..sakitnya hati Indah. Perasannya dia! Siapa nak jatuh suka pada manusia yang macam itu?
Waktu pagi tadi Indah gugup untuk membalas kata. Yang dia tahu, dia benci sangat-sangat dengan cara Tajul Razin! Benci kerana masih menganggap Indah yang bukan-bukan! Masih menaruh syak yang dia adalah perempuan kampung yang akan mengambil kesempatan pada Dato’ Safiya. Dengan kata lainnya, mungkin Tajul Razin ingin mengatakan dia adalah penipu , pengikis harta ataupun pencuri. Huh! Sebab itu Tajul Razin kena ambil langkah berhati-hati…
Itulah tujuan dia memasukkan cincin mahal itu ke dalam beg Indah. Memang sah , cincin itu milik dia. Sebab dia sudah mengaku memiliki sijilnya. Dan Indah yakin tidak ada kena mengena dengan Dato’ Safiya. Mamanya tidak tahu lansung kes Indah-Tajul Razin selama ini. Cis! Dia bukan sahaja garang, sombong, kedekut, prejudis malah licik juga. Hari ini Indah dapat menambah lagi sifat-sifat keji manusia seorang ini.
Sudahlah Indah! Fokus…fokuslah pada kerja! Buktikan pada Tajul Razin keji itu bahawa kamu bukanlah seperti anggapan dan sangkaannya! Buktikan! Iyalah…jika nak benci-bencipun bukan boleh bawa penyelesaian apa-apa…
“Hebatlah anak saudara dato’ , hari pertama kerja sudah boleh selesaikan masalah . Sudah berminggu-minggu saya fikir macam mana nak buat. Ajaiblah tangan dia ni. Macam emak saudaranya , bukan saja ada rupa, bijak juga….beauty with brain”
“Sudah-sudahlah memuji tu Safuan. Kata banyak kerja, asyik berulang ke bilik saya sahaja, bila nak siap? Bos kamu tak melenting ke?”
“Dia , kalau dengan saya kurang dato’. Lainlah dengan Zakiah ke, Rita ke, cepat benar darah dia menyirap! Pantang perempuan-perempuan tu buat silap!”
Semua pekerja di sini menyangka Indah adalah anak saudara Dato’ Safiya, sebab ganti diri ‘auntie’ yang digunakan. Malahan Dato’ Safiya juga tidak pula menafikan atau memperbetulkan sangkaan tersebut. Dia buat diam sahaja. Indah lagilah tak berani. Bukannya apa, dia takut dato’ berkecil hati jika dia memandai-mandai. Dato’ macam suka sahaja dengan anggapan itu.
Safuan diperkenalkan sebagai pembantu peribadi merangkap setiausahaha si garang . Indah ada terdengar dia ini memang bermulut manis! Seharian dia berulang alik sahaja ke bilik Indah, tapi nasib dia kurang baik kali ini bila terserempak Dato’ Safiya yang sedang berdiri di pintu bilik. Safuan macam termalu-malu juga di situ. Mungkin dia datang atas arahan Tajul Razin …untuk mengintip Indah! Ada-ada sahajalah Indah ini..ada ke berfikir sampai ke situ?
Menurut Kak Nora, pekerja lain semua tidak berani bersenda gurau atau berbual kosong dengan dato’, apatah lagi dengan Encik Tajul garang, kecuali si Safuan ini seorang. Mungkin kerana dia juga kawan rapat Encik Tajul dari zaman sekolah, maka dia boleh berkelakuan begitu.
Weh! Di pejabat, si garang itu lebih dikenali sebagai Encik Tajul, bukan nama glamournya Razin atau Zen! Kata Kak Nora, itu Tajul nombor satu, adik-adiknya yang sekali sekala datang digelar Tajul nombor dua dan tiga.
Banyak juga maklumat tentang si Tajul garang yang Indah kumpulkan hari ini. Kebanyakannya yang tak-tak sedap belaka. Indah terdengar ada staff yang termengumpat. Indah tak berani ‘joint’ , cari nahas! Dato’ Safiya awal-awal lagi sudah bagi amaran jangan masuk kumpulan bergosip . Lagipun Indah sendiri tidak suka sebenarnya . Mengumpat, mengata dan fitnah orang itu termasuk dalam dosa-dosa besar. Kena cari orang yang diumpat untuk minta maaf, jika tidak dosa tidak berampun! Tipis harapan untuk ke syurga.
Rumusan untuk hari ini, Tajul garang memang digeruni oleh pekerja-pekerja, terutama si kaum perempuan. Sebab apa? Sebab dia garanglah! Cepat marah, berangin tak tentu pasal!
Lewat petang, Indah mendapat satu SMS dari satu nombor baru, tidak termasuk dalam senarai daftar telefon bimbitnya.
“Saya serius dengan apa yang dikatakan pagi tadi. Jadi awak sentiasa
dalam perhatian! Jangan cuba-cuba berniat serong pada dato’. Dan jangan
cuba-cuba untuk goda mana-mana lelaki kat dalam rumah .-Tajul Razin”
Ya Allah….sakit hati betul la dengan dia ni. Tak habis-habis! Indah dah faham, tak perlulah ulang banyak-banyak kali. Tak cukup dengan cakap, dia nak guna telefon pula. Esok, mesti dia godam email .
Tapi yang kelakar tu…boleh dia kata Indah hendak goda lelaki dalam rumah tu ? Dia fikir Indah ni perempuan murah sangat ke?
Kan sudah betul telahan Indah, memang dia kirim Safuan untuk dapatkan maklumat. Borang data peribadi Indah ada diatas meja Nora tadi , untuk di hantar ke HQ gedung di Bukit Bintang. Jika tidak, mana dia dapat nombor telefon bimbit Indah ? Dato’ pun belum tahu lagi. Sebab Indah sentiasa ada dekat dengan dato’, jadi tidak perlu berhubungan telefon .
Eei..bencinya!!! Geram sangat-sangat! Dia ingat Indah ni apa ke ? Tak habis-habis curiga Indah orang jahat! Takhenti-henti syak yang bukan-buka. Takut nanti, jika ada barang hilang dari rumah atau pejabat, Indah yang menjadi sasaran sebagai suspek utama.
Indah membalas SMS .
“Encik Tajul Razin, terimakasih kerana mengingatkan. Encik jangan
bimbang,saya akan pastikan dato’ akan sentiasa gembira dengan
saya, dan janji tidak akan goda siapa-siapa – Indah Halina”
Pesan ayah, api tidak boleh berlawan dengan api. Jika orang tengah keras, kitapun tidak boleh turut sama keras . Oleh itu, Indah tidak mahu mengikut rentak sewel Tajul garang ini. Biar dia berlawan cara lembut. Tak bermakna Indah kalah!
Sekejapan sahaja dia mendapati SMSnya berbalas.
“Awak jangan main-main dengan saya!!!”
Hah! Sudah! Tajul garang ini entah apa-apa. Dia yang tuduh Indah yang bukan-bukan, kata orang main-mainkan dia pula.
Dan hari-hari seterusnya, sikap Tajul garang ini begitu juga pada Indah. Di hadapan Dato’ safiya dia akan pura-pura melayan Indah dengan baik, tidak mahu mama susah hati sebab sikapnya. Di belakang Dato’ Safiya kata-kata dan SMS bagaikan cili api spesies paling pedas. Berasap! Setiap hari ada-ada sahaja kata-kata ugutannya. Kadang-kadang Indah rasa tak sesuai pula rupa yang kacak, manis dan baik itu dengan sikap yang macam pengganas !
Cara Tajul Razin membuatkan Indah rasa tertekan apabila bertemu muka atau mendengar nada deringan SMS. Pelik juga, dia boleh ada masa untuk buat semua ini, sedangkan Indah tahu tanggungjawabnya terhadap kerja-kerja syarikat bukannya sedikit!
Lantaran itu, Indah sudah merisik-risik sebuah bilik kosong untuk dia berpindah .Bila sudah pasti nanti baru dia akan memujuk Dato’ Safiya melepaskannya pergi dari rumah mewah itu. Cincin mahal yang menyusahkan itu akan ditinggalkan sama. Mahu masuk lokap kalau Indah angkut sekali!
*********
INDAH rasa nak marah, tapi dia bawa bersabar saja. Muka si garang ini ada sahaja menyibuk ke mana-mana Indah dan dato’ pergi. Pantang mama dia ajak , dia menurut . ‘Lunch’ , ‘high tea’,’brunch’, semua dia ada masa. Itu yang Indah pelik! Safuan selalu kata bosnya sibuk, tapi boleh pula sentiasa temankan mamanya makan.
Tengahari ini pun sama. Cepat saja dia sampai bila dato’ telefon minta makan sama . Taat betul!
Itu bukti dia memang seorang anak yang baik. Menurut sahaja segala permintaan mama . Kecuali satu dia tak ikut, percubaan Dato’ Safiya kenenkan dia dengan mana-mana perempuan untuk dijadikan pasangan hidup , semuanya gagal! Bab ini dia tidak mendengar kata mamanya. Itu menurut cerita Kak Nora, Indah tak tahu apa-apa dalam bab ini. Kak Nora ada juga tolong dato’ membuat temujanji ‘dating’ si dia, tetapi semuanya hancur, tidak berhasil .
Lei..eleh.. Indah ,dalam mengutuk , benci, meluat, geram kaw-kaw, ada juga hati memuji si garang ini! Sungguh! Dia memang bagus kalau bab melayan makan minum mamanya. Namun, dalam masa yang sama dia juga ambil kesempatan untuk menyakitkan hati Indah. Lagi dan lagi.
“Auntie nak ke bilik air kejap …”
“Nak Indah temankan auntie ke ?”
Dato’ Safiya tertawa kecil. Kepala Indah digosok-gosok lembut.
“Auntie kan dah banyak kali cakap, kalau ke bilik air tak payah ikut. Lagipun bilik airnya tu…ha depan mata saja. Teruskan makan tu sampai habis. Selalu makan tak habis, tengok badan dah makin susut….”.
Sebaik saja Dato’ Safiya membelakangkan mereka, si garangpun mula mencebik bibir. Dia cemburu ke, dato’ lebihkan Indah ?
“Mengada-ngada. Nak bodek …..nanti boleh la dapat baju mahal-mahal, kasut berjenama, beg tangan. Itulah tujuan awak kan? Maklumlah sebelum ni mana pernah rasa semua tu…”
Seperti selalu, Indah hanya tersenyum tawar dan mendiamkan diri. Tak guna dia berbalas kata, buat hati bertambah sakit.
“Dasar pengikis…perempuan kampung…”
“Terimakasih encik, kerana mengingatkan…”
Kalau Indah hendak membalaspun, itu sahaja ayat yang dikeluarkan. ‘Terimakasih’ itu adalah perkataan hikmah, boleh meredakan kemarahan orang. Tapi setakat ini belum terbukti lagi , sebab bahan ujikajinya adalah manusia berjiwa buruk sangka yang tegar! Mungkin ambil masa panjang sikit.
Mendengar kata-kata yang dijangka itu, Tajul Razin menjeling tajam gadis di hadapannya. Itu saja yang boleh diucapkan dia. Macam ayat yang sudah dirakam, cuma perlu diputar semula saja. Jangan harap dia nak dengar si Indah membela diri.
“Indah!”
Kedua-dua Indah dan Tajul Razin menoleh pada tuan punya suara di tepi meja mereka. Kelihatan seorang lelaki berkemeja hijau muda sedang memandang Indah dengan penuh perasaan. Indah kaget! Muka jadi pucat lesi.
” Err…Aa…Abang Saiful….”
Indah betul-betul tidak sangka dengan pertemuan ini.
“A..Abang Saiful apa khabar?”
Indah masih mampu juga bersuara. Walaupun dia lihat mata Saiful Azam tidak lari dari dirinya. Kemudian mata lelaki itu beralih sekilas pada Tajul Razin.
“Inikah sebabnya Indah sembunyikan diri hari itu ?”
Lirih suara Saiful Azam.
Hah? Indah panik sekejap! Kenapa soalan macam ini yang keluar? Di hadapan si Tajul pula tu.
“Abang Saiful….Indah…Indah dah cuba terangkan….”
Indah berkata perlahan, tetapi Saiful Azam masih tidak memberi peluang. Dia terus saja memotong cakap.
“Tak perlulah nak berdolak-dalik lagi Indah! Sekarang dah terbukti Indah cuma main-mainkan perasaan abang. Kesihan emak , abah, termasuk ayah Indah sendiri. Mungkin abang tak cukup kaya untuk Indah, tapi tak malukah pakai baju yang abang belikan untu berjumpa dengan lelaki lain?”
“Abang Saiful…tolong bagi Indah peluang menerangkan perkara sebenar..”
” Ingat abang akan percaya ? Mati hidup semula kami sekeluarga tak percaya. Termasuk ayah Indah juga. Tak sangka orang yang nampak baik, namapun Indah tapi hanya taksub pada harta dan kemewahan. Selama ni kami memang tertipu…”
“Hei..hei …bro , what’s up ? It’s public area, please do respect us…”
Tajul Razin mencelah dengan cakap ala-ala London nya. Sebab muka Saiful Azam sudah semacam, dia risau takut kecoh menjadi-jadi. Nanti memalukan dia dan lebih-lebih lagi reputasi Dato’ Safiya.
Mencerlung mata Saiful Azam pada Tajul Razin. Rahangnya berbunyi-bunyi menahan geram.
“Kalau you suka sangat perempuan ni…ambillah! I sikitpun tak kisah. Wife I seribu kali lebih cantik dan baik..”
“So? Kenapa nak bising-bising lagi di sini ?”
Tajul Razin nampak serius sangat! Tapi Indah agak lega, jika tidak, macam-macam fitnah lagi akan disampaikan Abang Saiful.
Saiful Azam memandang lagi Tajul Razin ,sekilas pandang tapi tajam, Pada Indah juga dia buat benda yang sama. Kemudian diapun belah, pergi begitu sahaja. Lagipun dua orang kawannya dari tadi asyik menggamit tidak jauh dari situ.
Indah terdiam. Sampai begitu sekali penangan fitnah Makcik Mariah dan Kak Zawati. Siksanya Indah rasa….
Hah? Tajul garang mulut bisa merenung tajam Indah selepas drama sebabak itu. Curiganya bertambah-tambah. Setiap kata yang keluar dari mulut lelaki yang tiba-tiba muncul dia simpan dalam kepala ! Itulah cermin diri Indah , gadis kesayangan mama. Sudah terbukti dia dari golongan mana….
“Err…Encik Razin, saya pergi tengok dato’ di bilik air sekejap. Rasa dah lama dia di sana…”
Indah masih gugup, tapi dia cuba mengawal diri supaya nampak tenang,dan cari jalan tidak terus dimamah pandangan marah lelaki dihadapannya.
“Hah…tahu pun! Dapat jumpa jantan , sampai tak ingat kerja !”
Dan selepas pertemuan itu, kutukan serta kecaman Tajul Razin semakin hebat! Sudah jelas Indah Halina tidak sebaik yang mama sangka! Perempuan yang hanya mengejar kemewahan!
Cuma Tajul Razin tidak tahu bagaimana hendak menyingkirkan perempuan ini dari hati mama dan hidup mereka sekeluarga. Dia tidak mahu wajah bahagia mama yang sudah mula bertapak itu kembali hilang. Kegembiraan mama nyata berbeza dengankehadiran Indah Halina. Entah kuasa apa yang dia guna, hingga mama nampak obsess suka pada dia.
Kehadiran lelaki itu juga buatkan kepalanya berkecamuk. Pelbagai persoalan mula muncul. Siapakah Indah sebenarnya ? Siapakah lelaki itu? Indah lari ? Aargghhh….
Pun begitu, siapa-siapapun Indah ,kenapa Tajul Razin tidak sanggup terang-terang menghalau dia? Alasan yang dia sendiri berusaha keras untuk menafikan. Sudah jelas niat gadis ini tidak baik, tetapi suara hatinya asyik sahaja menidakkan…..
p/s : Sudi-sudikanlah dapatkan novel Umie ‘USAI …AKU TERIMA NIKAHNYA’, yang akan berada di pasaran pada pertengahan Oktober ini, terbitan KaryaSeni, dan juga ‘PILIHAN MAMA’ , keluaran Kaki Novel yang sudah pun berada di pasaran sejak April. Terimakasih….




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

19 ulasan untuk “Novel : Kerana Terpaksa…Aku Relakan 8”
  1. sarah says:
    Allaa..kate2 saiful lg la wat tajul curiga ngn identiti indah! Ish..sibuk je saiful tu
  2. Cahaya says:
    Tahniah!!suka jalan cerita tak boring..
  3. Cahaya says:
    Harap dapat cepat novel “U..ATN”
  4. Anis says:
    Sabarlah Indah :)
  5. syafriyana says:
    laa bnci tul la ngan saiful tu. kn dh tmbah prisa kebencian tajul kat inda. ngee….! bnci tul la.
  6. anor says:
    betul tu sabarlah Indah. Orang yg sabar selalunya akan ada kebahagiaannya.
    Penulis ada blog tak?
  7. idA says:
    salam umie..akak baru lepak kat karyaseni punya blog..takde lagila novel adik untuk buat tempahan lagi..
    apa apa pun all d best..
    akak harap citer ini akan diterbitkan kerana plot citer ni mmg menarik..adik ada blog ke..kalau ada bolela kami beramai ramai membaca nukilan adik disana..
  8. Aira says:
    tahniah kak..citer nim memang best.. sya suka sgt.. harap cepat2 smbng
  9. blinkalltheday says:
    jahat la si tajul ni akk..suke tuduh indah bkn2..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel. Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen




"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"
Icon
Artikel Terkini
Terjemah
Permainan
Online
Kongsi
Informasi Terkini
ChatJom Chat (3)
ChatJom Chat (3)
 
NOVEL TERBARU
NOVEL TERBARU
Dapatkan 2 Novel terbitan Karyaseni. TERLANJUR MENCINTAIMU dan BILA HATI KATA SAYANG di pasaran sekarang atau layari di www.karyaseni.my

Icon
Artikel Terkini
Terjemah
Permainan
Online
Kongsi
Informasi Terkini
ChatJom Chat (2)

Icon

Tiada ulasan:

Catat Ulasan